Thursday, January 22, 2009

Pengecualian enam bulan kepada majikan bayar levi

Jan 22, 09 12:03pm

Para majikan dalam industri tekstil and elektrik akan dikecualikan dari membayar levi pembangunan sumber manusia bagi tempoh enam bulan ke atas sektor itu berkuat kuasa 1 Februari.

Langkah itu bertujuan mengurangkan bebanan kewangan masing-masing memandangkan krisis ekonomi global sekarang ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam dalam satu kenyataan hari ini.

"Dengan pelaksanaan langkah kerajaan itu, para majikan dijangka dapat menjimatkan antara RM30 juta dan RM40 juta," katanya, lapor Bernama.

Bagi tempoh enam bulan, katanya jumlah levi pembangunan sumber manusia yang akan diecualikan bagi indfustri tekstil ialah RM2.68 juta dan RM30.57 juta bagi industri elektronik dan elektrik.

Beliau berkata pengecualian itu membabitkan 1,234 majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad di bawah kementerian itu, yang terdiri

daripada 325 majikan di dalam industri tekstil dan 909 majikan di dalam industri elektronik dan elektrik.

"Ini merupakan langkah proaktif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu para majikan pada masa sukar ini," katanya.

Pengecualian itu diberikan berikutan kemerosotan berterusan permintaan yang memberi kesan buruk ke atas kedua-dua industri itu, katanya.

"Walau pun levi itu dikecualikan mulai Februari 2009 hingga Julai 2009, para majikan di kedua-dua industri itu digalakkan terus menghantar para pekerja masing-masing bagi mengikuti latihan dan menggunakan levi masing-masing di dalam akaun masing-masing," katanya.

Dr Subramaniam berkata kerajaan sebelum ini mengecualikan sepenuhnya atau sebahagian pembayaran levi dalam tiga keadaan ialah krisis kewangan Asia 1998 (levi dikecualikan antara enam bulan hingga 18 bulan); kelembapan ekonomi pada 2001 (levi dikecualikan bagi kesemua sektor); dan Perang Iraq dan wabak SARS pada 2003 (bagi agensi hotel dan pengembaraan bagi tempoh enam bulan).

Katanya kerajaan akan terus memantau pertumbuhan kedua-dua industri berasaskan Indeks Pengeluaran Perindustrian bulanan dan menyemak semula keadaan pada akhir tempoh enam bulan itu.

"Jika keadaan berterusan, pengecualian seterusnya akan dipertimbangkan," katanya.


http://www1.malaysiakini.com/news/96953

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...