Thursday, January 22, 2009

Bantuan terhalang


KAHERAH: Usaha Pertubuhan Al-Amal yang cuba menghantar bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Palestin di Rafah terbantut apabila pihak berkuasa Mesir yang membuat sekatan jalan raya menghalang segala usaha pihak luar memasuki daerah berkenaan.

Difahamkan pasukan bantuan NGO berkenaan yang sudah sampai ke Arisyh terkandas dan terpaksa berpatah semula ke Kaherah selepas dihalang pasukan keselamatan Mesir untuk meneruskan misi ke Rafah.

Perkara ini dinyatakan Ketua Bahagian Kewangan Kedutaan Malaysia di Mesir, Mohd Sharbini Zaini yang dukacita dengan masalah yang berlaku.

Menurutnya, pihak kedutaan cuba sedaya upaya untuk memberi bantuan dokumentasi kepada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyalurkan bantuan ke Gaza.

Antara badan NGO yang dikenal pasti aktif cuba membantu adalah Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid), Persatuan Perubatan Malaysia (Mercy), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Pertubuhan Al Amal.

“Kami sedaya upaya berusaha menyediakan dokumen sokongan selain meminta kebenaran bertulis daripada kerajaan Mesir bagi memastikan operasi bantuan yang dihantar tidak mengalami kesulitan,” katanya.

Terbaru lima lori penuh muatan ubat-ubatan yang cuba disalurkan Mercy dihantar dengan bantuan kakitangan kedutaan Malaysia sehingga ke kawasan Rafah lebih 400 kilometer, Ahad lalu.

Ubat-ubatan bernilai lebih RM100,000 berkenaan cuba diserahkan kepada mangsa serangan Israel di Gaza yang kini mencecah angka puluhan ribu orang.

“Bagaimanapun, usaha untuk menghantar bantuan seterusnya oleh Pertubuhan Al Amal kelmarin, terkandas berikutan pihak berkuasa Mesir menutup beberapa laluan utama ke Rafah yang menjadi pintu masuk ke Tebing Barat.

“Terlalu banyak sekatan dibuat pihak berkuasa yang menyukarkan tugas penghantaran ini,”
katanya ketika ditemu bual wartawan, petang semalam.

Tambahnya, keadaan di sempadan Mesir dan Tebing Barat masih tidak menentu dan ada kalanya bantuan yang cuba disalurkan tidak sampai berikutan halangan dan pemeriksaan ketat.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 100 anggota pelbagai NG0 kini dikenal pasti berkumpul di Mesir dalam usaha memberikan bantuan makanan dan perubatan kecemasan kepada penduduk Gaza.

Bagaimanapun, usaha murni berkenaan sedikit terbantut berikutan surat dan pas dikeluarkan Kedutaan Malaysia di sini dan Kementerian Penerangan Mesir seolah-olah ‘tidak laku’ sebaik anggota NGO ini cuba memasuki Rafah yang menempatkan ribuan mangsa perang Gaza.

“Akibatnya ada antara NGO terpaksa berpatah balik dan menunggu peluang seterusnya untuk sampai ke Rafah,” katanya

Menurutnya, walaupun gencatan senjata antara Hamas dan Israel berkuat kuasa kini, namun perang fasa kedua boleh berlaku bila-bila masa dan dibimbangi boleh mengancam nyawa petugas media dan NGO yang memasuki Gaza.

Hamas terkenal dengan sikap degil dan satu tembakan peluru sahaja sudah cukup untuk membuat bala tentera Yahudi ini berpatah balik ke Gaza.

“Bagaimanapun kami berharap gencatan senjata ini akan kekal untuk tempoh masa lama bagi membolehkan bantuan perubatan, makanan dan pakaian dari rakyat Malaysia disalurkan kepada 15 juta penduduk Gaza,”
katanya,

Ditanya berhubung reaksi rakyat Kaherah berhubung perang Gaza, beliau berkata, rata-rata penduduk Arab Mesir simpati dengan apa yang berlaku, namun tidak dapat berbuat apa-apa berikutan isu politik yang tidak dapat dijelaskan secara terperinci.

“Mereka (rakyat Mesir) cukup marah dan sedih, namun polisi dan dasar berkecuali kerajaan menyebabkan mereka hanya dapat meluahkan kekecewaan melalui demonstrasi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122091034/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...