Thursday, January 22, 2009

Sengsara jadi buruan along


BUKTI...Aina menunjukkan laporan yang dibuatnya.


KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang terjebak meminjam wang daripada along, kini dibayangi ketakutan apabila mendakwa setiap hari dicemuh dan diugut untuk dicederakan jika gagal membayar balik pinjaman berserta jumlah bunga tidak masuk akal.

Lebih merisaukan, along terbabit memberitahu jumlah hutangnya tidak pernah menyusut, malah melebihi jumlah pinjaman walaupun setiap bulan membuat bayaran sejak lebih setahun lalu.

Akibat kejadian itu juga, wanita berusia awal 30-an terbabit yang ingin dikenali sebagai Aina, terpaksa mengambil langkah drastik berhenti kerja serta-merta dan berpindah ke rumah baru bagi mengelak diri daripada diburu along berkenaan.

Paling menyedihkan, wanita berkenaan kini terpaksa berdepan perkara itu berseorangan berikutan ditinggal kekasih dan dipulau rakan rapatnya yang tidak mahu terbabit sama dalam masalah dialaminya.

Aina berkata, dia mula terjebak apabila dipelawa kawan baik yang juga bekas rakan serumahnya yang beriya-iya mempromosikan perkhidmatan along terbabit yang kononnya tidak mempunyai sebarang niat jahat.

Termakan pujuk rayu rakannya itu, dia meminjam RM2,500 untuk digunakan membayar duit pendahuluan kereta selain menyambut kedatangan Aidilfitri pada 2007.

Wanita dari pantai timur itu berkata, rakan baiknya itu tiba-tiba menghilangkan diri beberapa bulan lalu dan gagal dihubungi sekali gus menyebabkannya berasa tidak sedap hati.

“Tidak lama kemudian, saya dihubungi dan diugut along berkenaan supaya membayar jumlah wang tidak masuk akal menyebabkan saya tidak tentu arah.

“Bila diselidiki, barulah saya tahu rakan saya itu berkemungkinan bersubahat dengan along berkenaan untuk mencari mangsa baru sebagai syarat membebaskan diri daripada terus diburu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berasakan diri terpedaya, Aina mengambil keputusan nekad enggan meneruskan bayarannya.

“Apa yang menghairankan, apabila ditanya jumlah hutang, along itu cakap masih tinggal RM3,000 walaupun setiap bulan saya bayar di antara RM400 hingga RM500 sejak setahun lalu.
“Berikutan itu, saya nekad memberhentikan bayaran. Bagaimanapun, along itu terus menghubungi dan mengugut saya. Malah, mereka pernah datang ke rumah lama tempat saya diami dulu dan cuba merampas segala keperluan di dalam rumah itu,” katanya,

Tidak tahan dengan dugaan dialami, Aina kemudian membuat aduan polis berhubung hal itu semalam dan berharap selepas ini along terbabit tidak lagi mengganggunya.

“Mujur ketika itu saya sempat pinjam duit rakan. Kerana bimbangkan rakan lain yang tiada kena-mengena dalam hal ini, saya ambil keputusan berpindah dan berhenti kerja,” katanya.

Tidak tahan dengan dugaan dialami, Aina kemudian membuat aduan polis berhubung hal itu semalam dan berharap selepas ini along terbabit tidak lagi mengganggunya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090120073541/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...