Thursday, January 22, 2009

Angkara pesaing bisnes


Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


HANGUS...Chou (kiri) bersama Kua (dua dari kanan)
melihat kesan kebakaran pikap di depan rumah sewanya.



JOHOR BAHRU: Gara-gara dipercayai dicemburui pesaing, keluarga seorang pembekal tong gas memasak nyaris maut apabila kediaman mereka di Jalan Jelatang 27, Taman Cahaya Kota Masai, di sini, dibaling dengan bom petrol, minggu lalu.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi Ahad itu, Chou Taik Loong, 35, dan isterinya terselamat apabila jiran mereka segera membantu mengawal kebakaran selain menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang.

Chou berkata, walaupun kejadian itu seminggu berlalu, dia dan isteri masih ketakutan kerana bahagian depan rumah sewa itu musnah bersama sebuah pikap.

“Ini kejadian pertama sejak saya menyewa di rumah ini, kira-kira tujuh bulan lalu dan menyebabkan kerugian mencecah RM10,000. Selepas menyedari kebakaran, saya dan isteri bertindak pantas menyelamatkan diri mengikut pintu belakang kediaman dan mengalihkan kereta Proton Satria dari halaman rumah itu ke luar pintu pagar bagi mengelakkan ia dijilat api.

“Kami bimbang dan panik kerana kebakaran itu boleh menjadi lebih serius sekiranya 10 tong gas dalam pikap saya meletup. Kami bernasib baik kerana anggota bomba yang tiba selepas setengah jam dapat mengawal kebakaran itu dengan cepat dan mengelakkan api merebak ke kediaman jiran,” katanya ketika ditemui, semalam.

Chou berkata, dia mengesyaki kejadian itu berpunca daripada sikap cemburu pesaingnya dalam perniagaan kerana beberapa hari sebelum itu, dia menerima amaran berunsur ugutan daripada sebuah syarikat pembekal gas.

Sehubungan itu, katanya, dia bertindak melaporkan ugutan terbabit di Balai Polis Seri Alam, di sini, pada 3 Januari lalu kerana khuatir sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Menerusi ugutan berkenaan, seorang wanita dan teman lelakinya berusia dalam lingkungan 40-an melarang saya membekalkan gas di kawasan Taman Megah Ria dan Permas Jaya kerana mendakwa akan mengganggu perniagaan mereka.

“Saya tidak menyangka ada pihak sangggup melumpuhkan perniagaan saya dengan membakar pikap dan halaman rumah hingga mengakibatkan kami terpaksa berpindah rumah ke Taman Permas Jaya,” katanya.

Insiden yang menimpa Chou itu mendapat perhatian Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda MCA negeri, Kua Song Tuck dan Ketua Skop Pencegahan Jenayah MCA Pasir Gudang, Shium Chan Teck yang meninjau tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi, berkata pihaknya menyiasat dari pelbagai sudut mengenai ugutan dan serangan menggunakan bom petrol itu.

“Kami memandang serius kejadian berkenaan dan akan mendapatkan maklumat daripada saksi serta pembekal gas berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090119095546/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...