Thursday, January 22, 2009
Ibu tiri tekap seterika
Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Akibat tidak tahan menjadi mangsa dera ibu tiri sejak setahun lalu, termasuk dipukul dengan batang besi dan tubuhnya ditekap dengan seterika, seorang remaja perempuan terpaksa membocorkan kejadian menimpanya kepada jiran bagi mendapatkan bantuan.
Berikutan itu, jiran yang bersimpati dengan nasib menimpa membawa mangsa untuk membuat laporan di balai polis berhampiran.
Difahamkan, remaja terbabit yang berusia 15 tahun turut dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat luka pada beberapa bahagian tubuh, termasuk paha dan betis selepas laporan polis dibuat.
Menurut jiran mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali, dalam kejadian jam 1.30 tengah hari pada Jumaat lalu, anaknya membawa balik remaja berkenaan ke rumahnya di Rumah Panjang, Jinjang Utara, Kepong di sini.
“Anak saya memang berkawan dengan mangsa kerana kami berjiran dan saya tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya.
“Namun, saya amat terkejut apabila remaja itu memberitahu dia didera ibu tirinya sejak setahun lalu, serta menunjukkan kesan tubuhnya yang ditekap dengan seterika,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Katanya, remaja terbabit memberitahu ibu tirinya memukulnya walaupun dia melakukan kesalahan kecil sehingga mendakwa dia terlalu takut dengan ibu tirinya.
“Selepas mengetahui kejadian itu, saya menemaninya membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang, Kepong.
“Saya mendapati nafasnya tersekat-sekat ketika menceritakan semula perbuatan kejam yang dilakukan ibu tiri terhadapnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes itu dibuat jiran mangsa di Balai Polis Jinjang.
“Polis menahan ibu tiri mangsa untuk membantu siasatan pada hari laporan polis dibuat remaja berkenaan dengan ditemani jirannya pada Jumaat lalu dan dia (ibu tiri) diikat jamin sehari selepas ditahan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090120073423/Article/index_html
No comments:
Post a Comment