Thursday, January 22, 2009

Calon BN terima kehendak rakyat


KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) menerima keputusan rakyat yang memilih Pas sebagai wakil rakyat Parlimen Kuala Terengganu serta menghormati prinsip demokrasi dan suara rakyat.

Calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang berusaha keras untuk parti terutama pengundi BN yang menyokongnya, walaupun tidak cukup untuk memenangi pilihan raya kecil kali ini.

Beliau yang meraih 30,252 undi tewas kepada calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut yang mendapat 32,883 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam sekadar memperoleh 193 undi sekali gus hilang wang pertaruhan.

“Saya ucapkan tahniah kepada sahabat saya, Abdul Wahid yang menang pilihan raya ini. Saya ucapkan selamat menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Saya juga berterima kasih kepada jentera luar dan dalam yang membantu BN kali ini dan saya tahu mereka bekerja keras untuk pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman Menteri Besar, di Seri Iman, di sini malam kelmarin.

Selepas memberi kenyataan ringkas itu, beliau yang tergesa-gesa meninggalkan Seri Iman enggan mengulas lanjut kekalahannya dan memberitahu ‘saya tidak akan jawab sebarang soalan’. Namun, sebelum beredar, beliau sempat berseloroh dengan menyatakan perkara keempat, iaitu terima kasih juga kepada media.

Sementara itu Menteri Besar Datuk Ahmad Said, berkata beliau menerima kekalahan BN kali ini dan akan terus melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090119093035/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...