Thursday, January 22, 2009

Perhebat perangi rasuah


Oleh Mohamad Sofee Razak

ISLAM mengutuk sesiapa saja terbabit dalam aktiviti rasuah. Ini kerana amalan rasuah dalam apa jua keadaan adalah jenayah dan kian menjadi barah dalam masyarakat yang perlu diubati segera. Al-Quran menegaskan: “Dan janganlah kamu memakan (mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188).

Amalan rasuah juga umpama serangan anai-anai yang boleh meruntuhkan sebuah bangunan dan begitulah juga rasuah boleh menjahanamkan sesebuah negara jika usaha menanganinya tidak diperkemaskan.

Nabi Muhammad s.a.w. secara tegas menyatakan: “Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka.” (Hadis riwayat At-Tirmizi).

Manakala dalam hadis lain pula, Rasulullah s.a.w mengisyaratkan bahawa perbuatan rasuah amat keras dikutuk Allah: “Allah s.w.t. melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya.” (Hadis riwayat Ahmad).

Melihat kepada bahaya rasuah dan akibat perbuatan itu, undang-undang baru digubal bagi membolehkan saudara mara terbabit atau bersubahat dengan penerima rasuah akan menerima tindakan dan nasib sama dengan orang dituduh berdasarkan peluasan tafsiran ‘saudara’ dalam Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hukuman itu selaras tuntutan al-Quran dan hadis yang menjadi sandaran utama perundangan Islam.

Berdasarkan undang-undang yang diluluskan di Parlimen itu, tafsiran bagi ‘saudara’ diperluaskan merangkumi isteri atau suami penerima rasuah, adik, kakak atau abang; adik, abang atau kakak isteri atau suami orang itu; bapa saudara, emak saudara, sepupu atau menantu penerima rasuah, berbanding tafsiran dalam Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Justeru, sesiapa terbabit dan bersubahat dengan penerima rasuah tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Penerima rasuah kini semakin bijak, cermat serta mahir dengan pelbagai tipu helah untuk menerima pemberian rasuah.

Ada di kalangan pengamal rasuah sanggup menggunakan akaun bank saudara-mara untuk menerima dan mendepositkan wang rasuah yang diberi pemberi rasuah.

Mereka tidak lagi menggunakan akaun peribadi atau menerima bayaran tunai jika membabitkan pemberian wang bagi mengelak perbuatan mereka dikesan pihak bertanggungjawab.

Bagi penerima rasuah yang menerima selain wang seperti pemberian tanah, kenderaan dan lain-lain, mereka akan segera menukar hak milik kepada saudara-mara terdekat bagi mengabui pihak berkuasa.

Mereka seolah-olah lupa dengan hukum Tuhan dan sistem perundangan yang ada hingga tergamak melakukan rasuah.

Dalam al-Quran, Allah s.w.t menyatakan yang mafhumnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” (Surah al-Ma’idah: 42).

Saudara-mara penerima rasuah perlu lebih berhati-hati kerana mereka juga boleh didakwa di mahkamah.

Penalti bagi kesalahan rasuah mengikut fasal SPRM ialah penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Ini belum lagi hukuman yang bakal diterima di akhirat kelak. Untuk itu, umat Islam perlu membebaskan diri dan segala aktiviti harian daripada budaya rasuah.

Saudara-mara terdekat penerima rasuah sepatutnya perlu menasihati orang tersayang agar tidak terbabit dengan amalan rasuah dan segera menjauhinya.

Adalah tidak wajar terjerumus dan bersubahat dengan penerima rasuah hanya kerana untuk mendapat sedikit habuan yang tidak halal di sisi agama.

Sebagaimana penegasan Allah dalam al-Quran: “Tidak ada kesamaan di antara perbuatan yang baik dan yang buruk. Yang buruk mestilah ditegah dengan cara yang baik.” (Surah al-Fussilat: 34).

Mereka sepatutnya bertindak melarang, menghalang atau melaporkan aktiviti rasuah kepada pihak berkuasa jika melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana penerima rasuah di kalangan saudara-mara terdekat hidup senang-lenang tanpa bekerja kuat.

Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah al-Tahrim: 6).

Oleh itu, saudara-mara penerima rasuah perlu mengelak daripada bersubahat dengan mereka atau menasihati mereka supaya balik ke pangkal jalan agar tidak dihadapkan ke muka pengadilan.

Namun, perlu ditegaskan bahawa tidak semua penerima rasuah hanya terdiri daripada kalangan mereka bergaji kecil serta berpangkat rendah. Ia turut membabitkan ahli politik dan ahli perniagaan.

Jumlah rasuah pula lebih lumayan serta modus operandinya kadang-kala kompleks dan sukar dihidu.

Walaupun pelbagai taktik digunakan untuk mengelak daripada tindakan, pihak berkuasa sebenarnya boleh bertindak bila-bila masa bagi memastikan misi sifar rasuah dapat direalisasikan di negara ini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090122090254/Article/index_html

1 comment:

mizan said...

:: kehidupan sebagai manusia tidak terlepas dari 2 kompas penunjuk untuk meneruskan kehidupan di atas dunia .. sebagai manusia yang mengaku beriman kepada allah dan rasul .. kompas perjalanan kita ialah Al-Quran dan Hadith ..

sekiranya kita tidak menggunakan 2 kompas utama ini .. maka kita sememangnya telah tersalah memilih jalan untuk menuju kedistinasi yang sebenarnya .. iaitu kehidupan akhirat yang kekal .. allah masih lagi memberi peluang kepada kita untuk kembali pada jalan yang sebenar .. peluang masih ada .. jangan siakan peluang ini .. kesalahan yang lalu .. isthigfar sebanyak mungkin .. kehidupan esok .. minta keberkatan dalam mencari agama .. :::

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...