Thursday, February 19, 2009

Amah bunuh anak sendiri dipenjara lima tahun

KUALA LUMPUR - "Terima kasih Yang Arif, terima kasih." 


Hanya kata-kata itu yang mampu diluahkan seorang amah Indonesia sambil menangis teresak-esak sejurus Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya atas sabitan menyebabkan kematian bayinya dua tahun lalu.

Unah Suma, 28, dijatuhkan hukuman tersebut setelah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan dengan menutup saluran hidung dan mulut mangsa bagi mengelakkan majikannya mendengar tangisan bayi itu.

Perbuatan itu dilakukan di rumah majikannya, Soh Beng Ping di No. 30 Jalan Sibu 4, Taman Wahyu, Jinjang di sini antara pukul 1 pagi dan 2.30 pagi 3 Jun 2007.

Ibu tunggal yang telah bekerja di negara ini sejak Ogos 2005 itu didakwa di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum 20.

Hukuman penjara ke atas Unah yang hadir di mahkamah dengan berbaju T itu diarahkan berkuat kuasa mulai tarikh dia ditahan reman pada 3 Jun 2007. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asma Ahmad.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Ab. Aziz ketika membacakan penghakimannya berkata, walaupun hukuman itu dijatuhkan mengambil kira kepentingan awam namun beliau juga melihat faktor peribadi tertuduh yang melahirkan bayi setelah dirogol anak saudara majikannya yang mabuk.

Menurut beliau, mahkamah mempertimbangkan keadaan tertuduh yang trauma dan takut akibat kejadian rogol itu namun beliau tidak dapat menerima alasan tertuduh hilang pertimbangan kerana pada waktu kejadian ada seorang amah lain bersamanya.

"Dalam kes ini, saya ambil kira faktor kehadiran rakan kamu, Nina Listianingsih yang ada di situ. Kamu tidak berseorangan, kamu boleh meminta tolong daripadanya," kata Zainal Azman kepada Unah yang asyik mengesat air matanya.

"Walaupun saya hakim, tetapi saya juga seorang manusia, bapa dan ada anak. Saya tidak dapat menerima dan saya percaya rakyat Malaysia juga tidak dapat terima perbuatan kamu," katanya dalam nada berhemah.

Menurut beliau, walaupun tertuduh tidak sukakan bapa kepada bayi berkenaan, namun dia yang mempunyai seorang anak di negara asal sepatutnya sayang kepada bayi itu yang merupakan sebahagian daripada dirinya.

"Kamu tidak sepatutnya melepaskan geram pada bayi kamu. Bayi itu sihat dan sempurna, laporan bedah siasat menunjukkan bayi itu mati kerana lubang hidung dan mulut ditutup dengan tekanan kuat untuk mengelakkan bernafas," katanya.

Terdahulu, peguam bela Raftfizi Zainal Abidin yang mewakili tertuduh menarik perhatian galeri awam apabila turut menangis bersama-sama tertuduh ketika merayu untuk wanita itu yang didakwa enggan membuat laporan polis atas kejadian rogol kerana tidak mahu dibuang kerja.

Berdasarkan fakta kes, pada pukul 1 pagi 3 Jun 2007, Nina terdengar tangisan bayi dan melihat tertuduh memegang bayi tersebut dalam keadaan terkangkang serta berlumuran darah lalu Nina keluar mengambil air untuk tertuduh.

Bagaimanapun, pada pukul 2.30 pagi, tertuduh memberitahu Nina bayinya telah mati. Tertuduh memasukkan bayi itu ke dalam plastik hitam dan membuangnya ke dalam tong sampah. Nina memberitahu kejadian itu kepada majikan keesokannya, menyebabkan tertuduh ditangkap.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0219&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...