Thursday, February 19, 2009

Geng ganas 'Jack' kecundang


MAYAT anggota Geng Jack yang tumpas bersama barang-barang rampasan diperiksa oleh Anggota Forensik di Seksyen 22 USJ Subang Jaya semalam.


SUBANG JAYA - Polis menggempur kumpulan samun kereta mewah ganas yang digelar 'Jack' dengan menembak mati dua anggota kumpulan itu di sebuah kawasan perumahan di Jalan USJ 22/1 di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu, dua lelaki yang diburu sejak setahun lalu tersilap memilih hari untuk melakukan jenayah apabila terserempak dengan sepasukan polis Cawangan Jenayah Berat D9 Selangor.

Ketika diserbu, mereka sedang merancang untuk menyamun sebuah kereta mewah di situ.

Sebelum itu, dua penjenayah tersebut yang menaiki sebuah kereta Toyota Vios hitam curi telah diekori sebelum polis memintas mereka dan mengarahkan mereka untuk berhenti.

Bagaimanapun, bukan sahaja arahan itu tidak dipatuhi sebaliknya pemandu kereta itu, Rizlan Ahmad Tajuddin, 35, atau 'Jack' dan rakannya, Mohamed Fadzil Mohamed Idris, 34, bertindak melepaskan dua das tembakan dan melanggar kereta polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II, Hasnan Hassan berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan balas selepas diancam oleh suspek.

"Jack mati di tempat kejadian manakala Mohamed Fadzil mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Serdang.

"Siasatan kita mendapati mereka merupakan kumpulan samun kereta mewah yang ganas dan berbahaya serta tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa sekiranya ingkar arahan,'' katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...