Thursday, February 19, 2009

Manusia 'dilelong' RM1,000 satu kepala dipindah


PETALING JAYA - Agensi pekerjaan yang gagal menyediakan kerja kepada lebih seratus warga Bangladesh di sini telah 'menunaikan janjinya' dengan memindahkan sebahagian daripada mereka ke lokasi lain mulai malam semalam.

Menurut sumber, seramai 15 orang daripadanya telah dipindahkan ke Kota Bharu, 13 orang ke Pulau Pinang, 10 orang dihantar ke Johor Bahru sementara bakinya ditempatkan di premis yang menjadi lambakan mereka sebelum ini.

Kosmo! difahamkan, agensi pekerjaan itu bertindak memindahkan sebahagian daripada mereka jauh dari Kuala Lumpur bagi mengelak media terus memburu 'anak buahnya'.

Majikan itu turut dikatakan seperti cacing kepanasan gara-gara berita mengenai aktiviti mereka mendapat liputan meluas termasuk daripada agensi media asing yang membuat liputan terbaru kes itu tengah hari semalam.

"Ejen juga telah 'campak' dua tiga warga Bangladesh yang pandai cakap Melayu ke Utara Semenanjung bagi mengelak mereka terus 'bocorkan' banyak rahsia," kata seorang sumber kepada Kosmo!. Ini disahkan oleh beberapa warga Bangladesh yang ditemui semalam.

Kosmo! dalam laporannya baru-baru ini membongkar nasib lebih 140 orang warga Bangladesh yang dikurung berhimpit-himpit dalam sebuah rumah kedai di Bandar Sri Damansara di sini apabila ejen pekerjaan gagal menyediakan kerja buat mereka.

Mereka kemudian 'dilelong' RM1,000 satu kepala kepada majikan lain yang berminat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...