Thursday, February 19, 2009

‘Buktikan siapa buat’

Oleh Isma Ismail
isma@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Pihak pembangkang diminta supaya tidak meneruskan tuduhan terhadap Barisan Nasional (BN) berkaitan penyebaran gambar bogel Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata mereka perlu kemukakan bukti pembabitan BN itu dan jangan membuat tuduhan sebarangan semata-mata mahu mengaburi masyarakat dalam isu terbabit.

Menurutnya, pembangkang dicabar supaya mendedahkan bukti mengenai pembabitan BN sekiranya benar BN terbabit dalam penyebaran gambar Wong seperti dakwaan mereka itu.

“Tuduh apa, buktikan siapa yang buat kerana saya tidak tahu menahu tentang hal ini yang tiba-tiba meletus dalam surat khabar. 

“Kalau mahu menuduh kena keluarkan bukti, jangan cakap macam itu sahaja dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Najib berkata demikian ketika ditemui wakil media di bangunan Parlimen, di sini, selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet untuk Meliberalisasi Sektor Perkhidmatan, petang semalam. 

Beliau memberi kenyataan ringkas itu berikutan terdapat dakwaan pemimpin pembangkang termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa skandal membabitkan Ketua Penerangan Wanita PKR itu didalangi BN.

Beberapa hari lalu, beberapa gambar separuh bogel Wong yang berusia 37 tahun itu disebarkan menerusi Internet dipercayai dirakam oleh individu menggunakan kamera telefon bimbit.

Gambar memaparkan Wong sedang tidur di atas sofa dipercayai di rumahnya yang turut mendedahkan kain dipakainya terselak.

Berikutan itu, Wong membuat laporan polis pada Ahad lalu selepas dimaklumkan penyebaran gambar terbabit oleh wartawan akhbar tabloid pada Jumaat lalu. 

Kelmarin, Wong menawarkan meletak jawatannya sebagai exco dan Adun tetapi diminta menangguhkan hasratnya itu serta diminta bercuti bagi meredakan tekanan dialaminya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090219094004/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...