Thursday, February 19, 2009

Bapa risau anak hilang status


KUALA LUMPUR: Bapa kepada dua kanak-kanak kini bimbang kerana sikap sambil lewa mereka tidak mendaftarkan perkahwinan masing-masing selepas mengambil wanita warga asing sebagai isteri akan menyebabkan anak mereka terpaksa berhenti daripada meneruskan persekolahan.

Ini berikutan pihak sekolah anak mereka kini meminta surat pengesahan kewarganegaraan atau terpaksa diberhentikan.

Kelalaian kedua-dua mereka juga akan menyebabkan anak-anak mereka bakal kehilangan status sebagai warganegara dan hilang keistimewaan sebagai rakyat negara ini pada masa depan. 

Seorang daripada bapa berkenaan Victor Ng Hong Lim, 34, berkata dia langsung tidak menduga sikap sambil lewanya itu akan memberi kesan besar terhadap anaknya.

Tambah malang, katanya, apabila anaknya Michelle Ng Siew Wei, 9, turut kehilangan ibu apabila wanita warganegara Kemboja yang dikahwini dikatakan melarikan diri dan dipercayai pulang ke negara asal ketika dia berusia sebulan. 

“Saya merasa amat sedih apabila Michelle, yang baru pulang dari sekolah memberikan notis daripada pihak sekolah meminta saya menguruskan hal pendaftarannya sebagai warga negara atau mereka terpaksa memberhentikannya atas alasan dia bukan warga tempatan.

“Pada mulanya semua berjalan dengan lancar selepas Michelle didaftarkan ke tahun satu, bagaimanapun selepas masuk tahun ketiga masalah berkenaan status warganegaranya mula timbul,” katanya.

Ini berikutan, permohonannya untuk mendapatkan status warganegara anaknya tidak diluluskan berikutan tidak mendaftarkan perkahwinan dengan bekas isteri warga asing itu.

Sementara seorang lagi bapa, Foong Kam Seong, 50, kini risau dengan nasib anak lelakinya Foong De Jian, 9, berikutan bakal diberhentikan sekolah kerana masalah sama. 

Dalam pada itu Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata sikap mengambil mudah berhubung kepentingan mendaftarkan perkahwinan yang rendah dikalangan masyarakat di negara ini menyebabkan masalah itu berlaku.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090219085950/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...