Thursday, February 19, 2009

Bakar kereta baru guru

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

Haniza. (Gambar kecil)" title="SELAMAT...kenderaan MPV, Nissan Grand Lavina milik
Haniza. (Gambar kecil)" height="386" width="300" border="0">
SELAMAT...kenderaan MPV, Nissan Grand Lavina milik 
Haniza. (Gambar kecil)

SEGAMAT: Teguran keras terhadap seorang pelajar tingkatan lima gagal menyiapkan carta perdagangan membawa kepada pengalaman menakutkan kepada seorang guru wanita Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bentara Dalam dekat sini.

Ini berikutan keretanya baru beberapa bulan dibeli dipercayai cuba dibakar kira-kira jam 9 pagi semalam.

Perbuatan itu dikatakan angkara pelajar terbabit selepas beberapa pelajar lain melihat dia berlari dalam keadaan mencurigakan berhampiran kereta guru berkenaan, tidak lama sebelum kebakaran pada tayar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina itu.

Dua pelajar yang kebetulan melalui tempat meletak kenderaan berhadapan koperasi sekolah itu memaklumkan kejadian berkenaan kepada mangsa, Haniza Rohhani, 37, lalu berjaya mengelak kebakaran lebih serius.

Difahamkan, kejadian itu yang paling buruk membabitkan kenderaan dirosakkan pelajar sekolah itu selepas tiga kes lain iaitu kereta disembur cat, pelapik tempat duduk motosikal dikoyak dan kereta dicalar sejak sesi persekolahan tahun ini.

Haniza ketika dihubungi, berkata dia berada dalam koperasi sekolah ketika dimaklumkan pelajar bahawa tayar keretanya terbakar.

Apabila keluar, dia melihat api marak membakar tayar belakang kenderaannya.

Tindakan pantasnya dengan dibantu seorang lagi guru dan dua pelajar berjaya memadamkan kebakaran itu sebelum merebak ke bahagian lain serta sebuah lagi kereta bersebelahan.

“Badan saya menggigil kerana terkejut apabila melihat asap hitam berkepul-kepul kesan api yang mula membakar tayar tapi dengan pertolongan seorang lagi rakan dan dua pelajar yang mengangkut air berjaya memadamkan kebakaran itu.

“Jika terlewat atau kebakaran itu tidak disedari, mungkin kenderaan saya hangus bersama sebuah lagi kereta guru bersebelahan,”
katanya.

Menurutnya, dia turut dimaklumkan mekanik tayar kenderaannya dicurah dengan petrol untuk memulakan pembakaran selepas menghantarnya ke kedai tayar.

“Saya tak menyangka menjadi mangsa kemarahan pelajar sendiri berikutan saya bukan guru disiplin atau guru yang garang yang boleh menyebabkan dia berdendam hingga sanggup membakar kereta,” katanya.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada tindakannya menegur seorang pelajar tingkatan lima yang tidak menyiapkan carta bagi mata pelajaran perdagangan diajarnya.

Katanya, seorang pelajar lain turut melihat suspek yang berlari dalam keadaan mencurigakan berhampiran keretanya sejurus sebelum kebakaran itu berlaku.

Mangsa membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Majid Ali, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090219093702/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...