Thursday, February 19, 2009

Mangsa krisis keluarga

Oleh Saipul Adli Mohamad 
saipuladli@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Kanak-kanak berusia tiga tahun dikenali sebagai Tan Eng Eng yang ditemui orang ramai menangis sambil mengheret beg plastik berisi beberapa helai pakaiannya berhampiran Blok 50, Taman Ungku Tun Aminah di sini, tengah malam Ahad lalu, dipercayai mangsa keruntuhan rumah tangga.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata hasil publisiti media, polis menerima banyak maklumat yang membantu siasatan sekali gus membolehkan pihaknya mengenal pasti bapa dan ibu kanak-kanak berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat dan membantu siasatan kami. Setakat ini, polis sudah mengenal pasti bapa budak terbabit dan lelaki itu kini direman di Penjara Ayer Molek di sini, selepas ditahan sekitar Taman Ungku Tun Aminah, pada 6 Februari lalu, berkaitan kes dadah dan curi kereta.

“Selepas bapanya ditahan, polis percaya masalah berlaku dalam keluarga itu sekali gus menyebabkan budak berkenaan menjadi mangsa keruntuhan rumah tangga.

“Kita sedang mengesan ibu kanak-kanak terbabit dan percaya dapat menemuinya tidak lama lagi. Buat masa ini, kanak-kanak berkenaan ditempatkan dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, Ruslan berharap orang ramai yang mengenali atau mempunyai sebarang maklumat mengenai ibu kanak-kanak berkenaan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Engku Nurul Aini Engku Malek di talian 012-6033345 atau balai polis berhampiran.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, suasana hiba menyelubungi sekumpulan penduduk Blok 50, Taman Ungku Tun Aminah di sini, apabila menemui seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dalam keadaan menangis sambil mengheret beg plastik berisi beberapa helai pakaiannya, kira-kira jam 12.10 tengah malam Ahad lalu.

Ketika ditemui, kanak-kanak terbabit yang mengaku dirinya bernama Tan Eng Eng dan berusia tiga tahun, seolah-olah hilang arah dalam kepekatan malam selepas ditinggalkan ibu bapanya berdekatan blok berkenaan.

Orang ramai yang menemui kanak-kanak itu menyerahkannya ke Balai Polis Skudai sebelum dihantar untuk menerima rawatan di Wad Pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Kanak-kanak terbabit kelihatan ceria sebaik gambarnya dirakam jurugambar media di wad berkenaan, tetapi ketika ditanya mengenai nama dan latar belakang keluarganya, dia menjadi bingung seketika sebelum menjawab ‘saya Tan Eng Eng...umur tiga tahun’.

Sikap ceria dan senyum manis kanak-kanak malang itu kemudian hilang begitu saja dan dia mula merengek apabila diasak dengan pelbagai pertanyaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090219090716/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...