KUALA LUMPUR - Kopitiam sepatutnya dijadikan sebahagian daripada warisan budaya pelbagai kaum rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, gambaran sedemikian seperti yang dapat dilihat sejak berdekad-dekad lalu kini sudah tiada lagi.
Kopitiam atau kedai kopi pada masa ini tidak lagi dilihat kaya dengan ciri-ciri tempatan sebaliknya dipenuhi dengan wajah-wajah asing.
Orang asinglah yang jadi tukang masak, tukang buat minuman, tukang cuci pinggan mangkuk serta pelayan. Lebih mengejutkan ada orang asing yang jadi juruwang mahupun pengurus.
Itulah fenomena yang berlaku di rata-rata kopitiam di seluruh negara yang 'didominasi' oleh warga Nepal, Bangladesh, Myanmar dan Filipina.
Malah sebahagian daripada mereka diletakkan di barisan hadapan sedangkan ia terang-terang menyalahi Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Demi keuntungan, pengusaha kopitiam sanggup mengetepikan undang-undang.
Siasatan Kosmo! mendapati kalangan pekerja asing yang ditemu bual mengakui mereka dibawa bekerja di kopitiam sedangkan tertera dalam pasport sepatutnya mereka diletakkan di bawah sektor lain seperti perladangan.
Gejala menggaji pekerja asing bekerja di kopitiam kini semakin menjadi-jadi apatah lagi kesan daripada kelembapan ekonomi dunia yang mendesak ramai pekerja asing diberhentikan kerja terutama dalam sektor perkilangan.
Sumber Kosmo! memberitahu, warga asing kini mula beralih dengan bekerja di kopitiam. Malah urusan 'perpindahan' pekerja di situ ada yang diuruskan sendiri oleh ejen yang membawa mereka masuk ke negara ini.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm
No comments:
Post a Comment