"Saya tidak meletakkan sepenuh keyakinan tentang gosip ini, sebaliknya saya sedar ada lagi karyawan seni lain yang boleh menjadi pengkritik, selain saya sendiri" – NURUL
GOSIP penyanyi berkulit hitam manis, Nurul Huda Ab. Wahab atau lebih dikenali sebagai Nurul, bakal dilantik menjadi pengkritik tetap rancangan realiti, Akademi Fantasia 7 (AF7), kini semakin hangat diperkatakan.
Begitupun, tuan empunya badan hanya mampu tertawa kecil saat mendengar khabar angin, bakal duduk di kerusi 'panas' pengkritik tetap rancangan AF7.
Tidak dinafikan, ada riak terkejut pada mulanya apabila kisah itu dibentangkan. Namun Nurul pantas bertukar riak selamba semula, sambil bersikap profesional dengan gosip yang terus dijaja oleh peminat dan individu tertentu dalam lapangan seni.
Bagi Nurul sendiri, kalau ada kebenarannya tentang gosip dia bakal menjadi pengkritik tetap AF7, maka sudah pastilah dia menjadi orang pertama paling teruja.
"Kalau dapat, saya bersyukur sangat," sahut Nurul tergelak kecil semasa ditemui pada sesi merakam lagu terbarunya di Execellent Studio milik Sharon Paul di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, Petaling Jaya minggu lalu.
Beritahu Nurul, dia bagaimanapun tidak menganggap gosip bakal dilantik sebagai pengkritik tetap AF7, menjadi satu masalah besar untuk dirinya.
"Saya suka sangat apatah lagi dapat bekerjasama dengan pihak produksi AF7 di empat buah lokasi yang berbeza di seluruh negara baru-baru ini.
"Saya dipilih untuk menjadi juri dan membuat tapisan para peserta di beberapa buah tempat antaranya adalah Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Sabah.
"Penerbit dan seluruh warga kerja AF7 kelihatan komited dalam melaksanakan tugas masing-masing demi mahu mencari bakat baru untuk diketengahkan dalam industri.
"Secara jujurnya, boleh dikatakan hampir keseluruhan warga kerjaAF7 merupakan orang-orang yang berbeza, kalau ingin dibandingkan dengan enam musim sebelum ini.
"Rasa seronok dapat kerja dengan mereka yang bersifat gila-gila, namun mereka tetap bersungguh-sungguh menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pihak Astro.
"Mereka mengetahui apa yang dimahukan termasuk mencari bakat-bakat baru di seluruh negara, malah mereka sentiasa berahsia dalam segala hal yang berkaitan AF7, supaya tidak diketahui umum.
"Itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan sikap warga kerjaAF7," luah Nurul tanpa berselindung.
Penyanyi berusia 32 tahun itu berkata lagi, setelah gosip yang bertiup kencang mula menerima perhatian masyarakat, namun seluruh warga kerja AF7 tidak sesekali mendedahkan apa jua maklumat.
"Mereka buat tidak tahu, malah berdiam diri sahaja tentang gosip saya bakal dilantik menjadi pengkritik tetap AF7.
"Saya tidak meletakkan sepenuh keyakinan tentang gosip ini, sebaliknya saya sedar ada lagi karyawan seni lain yang boleh menjadi pengkritik, selain saya sendiri," tambah Nurul dalam lontaran suara cukup merendah diri.
Barangkali, ada sesetengah pihak yang bersikap skeptikal tentang kredibiliti dan bakat Nurul untuk menjadi seorang pengkritik.
Mungkin ada yang berpendapat Nurul ibarat penyanyi hingusan, yang belum selayaknya untuk berada di tempat pengkritik tetap AF7.
Satu persoalan lain, mampukah Nurul bertukar karakter menjadi lebih celupar berbanding sebelumnya? Kita maklum sahaja, kebanyakan juri tetap AF sebelum ini agak 'keras' dan boleh dikatakan agak celupar bila membuat kritikan memandangkan mereka telah diamanahkan untuk berlaku 'sejujur' mungkin dengan peserta.
Dalam nada tenang Nurul menyampuk, dia mahu masyarakat menilai pengalaman yang dimilikinya dalam bidang seni suara selama 15 tahun, sebagai medium utama untuk dia berkongsi dengan bakat-bakat baru.
"Secara tidak langsung, ia menjadi motivasi dan perangsang untuk saya. Tambahan pula dengan proses yang pernah saya lalui sepanjang tempoh melebihi satu dekad berstatus anak seni.
"Banyak kenangan yang pernah saya jalani dalam hidup. Saya menerima banyak nasihat daripada peminat yang sebelum ini terserempak dengan saya, semasa berada di tempat awam.
"Bukan itu sahaja, hidup bersama bekas suami, Ajai selama 10 tahun sebenarnya sudah banyak mematangkan saya mendalami selok-belok dalam kehidupan dan bidang seni.
"Saya merupakan seorang wanita yang tidak gentar apabila dicabar. Kalau dicabar, lantas saya akan pastikan untuk melawan semula demi membuktikan kebolehan diri.
"Kerana itu saya lihat proses pengalaman yang pernah dilalui sebelum ini indah, lantas dapat dikongsi bersama orang lain," ungkap Nurul yang kelihatannya naif, namun ia tidak bererti dirinya boleh diperkotak-katikkan oleh orang lain.
Jika selepas ini, masih lagi ada pihak menidakkan kemampuan dirinya, yang bergelar seorang penyanyi, maka ringkas sahaja ucap Nurul: "Saya anggap kata-kata ini sebagai cabaran."
Muncul dengan album baru
Tutup kisah yang mengaitkan Nurul diuar-uarkan bergelar pengkritik tetap AF7 yang bakal bersiaran tidak lama lagi.
Nurul sebaliknya lebih teruja bercerita tentang proses pembikinan album studio, yang bakal menemui peminat pada Mac nanti.
Sebelum episod manis tentang albumnya dibicarakan, Nurul mengakui, berdepan dengan pelbagai masalah yang tidak dinafikan mengguris sedikit jiwanya, yang selama ini bersifat kental.
Tambah Nurul, pengalaman yang pernah dilaluinya memberi semangat untuk meneruskan kerjaya seni.
Meskipun pembikinan album solonya sebelum ini tertangguh hampir tiga tahun lamanya, namun kini segala yang diinginkan oleh Nurul, semakin hampir menjadi kenyataan.
"Pembikinan album terbaru ini sebenarnya sudah pun lama dirancangkan. Cuma kerana sebab-sebab yang tertentu, ia akhirnya tertangguh, hingga saya menemui Metadome Sdn. Bhd.
"Saya merupakan individu yang komited semasa bekerja, apatah lagi mahu melahirkan album baru. Malah saya juga mahukan orang yang bekerja dengan saya, harus komited sama.
"Tidak dinafikan, sebelum ini saya kurang yakin dengan syarikat lain daripada segi kemampuan bekerja.
"Apabila Metadome memberi peluang untuk saya bergelar artis rakaman mereka, saya terus setuju tanpa mahu fikir panjang.
"Pekerjanya juga terdiri daripada orang-orang kuat industri seni yang bersungguh-sungguh melaksanakan kerja sendiri.
"Disebabkan percaya dengan kredibiliti yang telah mereka perlihatkan, maka saya menerima tawaran Metadome pada bulan Disember tahun lalu.
"Saya harap album baru ini dapat memenuhi syarat yang ditetapkan dan hasilnya juga berkualiti," ujar Nurul.
Kerjasama dengan Sharon
Tidak ketinggalan, Nurul juga menjalinkan kerjasama dengan komposer terkenal yang juga merupakan isteri kepada aktor, Rusdi Ramli iaitu Sharon Paul.
"Sudah lama saya berkeinginan untuk bekerja dengan Sharon, cuma baru kali ini ia tercapai.
"Sharon seorang yang serius apabila bekerja, tetapi dia tetap terbuka menerima pendapat orang lain.
"Boleh dikatakan, Sharon merupakan orang baru dalam dunia seni, jadi ideanya lebih segar serta mengikut peredaran masa.
"Saya juga tidak mampu untuk menidakkan kebolehan komposer lain, cuma kali ini saya mahu cuba sesuatu yang baru, untuk penjenamaan semula diri saya.
"Paling mengujakan, saya dan Sharon mempunyai keserasian semasa bekerja, hingga ia menjadi faktor terpenting untuk menghasilkan sesuatu karya yang baik," kata anak kelahiran Pulau Pinang itu teruja.
Bercerita mengenai albumnya, sebanyak tujuh lagu dimuatkan. Terdapat lima buah lagu baru manakala dua lagu lama, menjadi bonus buat peminat.
"Sewaktu sesi pemilihan lagu, saya diberikan sebanyak 15 lagu untuk dipilih dan semuanya sedap didengar serta berkualiti.
"Saya mendengar keseluruhan lagu ini semasa memandu. Kerana tidak tahu lagu yang mana satu mahu dipilih, saya menyerahkan kepada Metadome untuk buat keputusan.
"Akhirnya sebanyak lima lagu terpilih. Antaranya adalah Sepenuh Jiwa, Kala Hati dan Jadikan Aku Bintang.
"Manakala dua lagu yang menjadi bonus dalam album ini adalah lagu saya yang dirakam tahun lalu.
"Buat masa ini, dua lagu lain masih belum mempunyai judul yang bersesuaian.
"Insya-Allah, album yang berbeza daripada apa yang peminat dengar sebelum ini, bakal dipasarkan pada pertengahan bulan depan.
"Dengan kelahiran album genre pop ini, saya percaya peminat dapat melihat kelainan di antara Nurul dahulu dan sekarang," akhiri duta Power Root itu sambil ketawa mengekeh.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm
No comments:
Post a Comment